Oleh FITRI HAZIM
PETALING JAYA – Sekumpulan penunggang motosikal dirakam menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Video berdurasi 2 minit 5 saat itu dirakam oleh seorang pengguna Rames Subramaniam dan dimuat naik di laman Facebook Kami Pengguna Jalan Raya semalam telah ditonton oleh 14,000 pengguna.
Rakaman menunjukkan salah seorang penunggang melakukan aksi “rocket” ketika memotong kenderaan lain dengan laju tanpa memberi sebarang isyarat menukar laluan.
Perkongsian rakaman itu menerima pelbagai komen yang mengundang kemarahan netizen dan meminta tindakan pantas oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kesemua penunggang di dalam rakaman berkenaan.
Seorang pengguna yang bernama Jebat Derhaka meminta tindakan segera oleh pihak PDRM.
“PDRM boleh bertindak, nombor plat kenderaan sudah jelas kelihatan,” katanya di laman Facebook itu.
Seorang lagi pengguna Lan Kajang berpandangan aksi berbahaya yang dibuat oleh penunggang boleh
membawa risiko kepada kemalangan.
“Aksi tunggangan sebegini menyebabkan berlakunya kemalangan. PDRM perlu melakukan sesuatu,” ujar Lan Kajang.
Seorang pengguna yang bernama Sham MJ berpendapat pembinaan tol terhadap penunggang motosikal yang terlalu bebas menunggang di lebuh raya harus dilaksanakan.
“Malaysia seharusnya mengenakan tol kepada penunggang motosikal. Sudahlah tidak bayar tol,
menunggang sesuka hati secara bahaya di semua lorong,” katanya. – K! ONLINE