fbpx

30 penunggang basikal di ibu negara dinasihat polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
30 penunggang basikal di ibu negara dinasihat polis

KUALA LUMPUR – Kira-kira 30 penunggang basikal di ibu negara diberi nasihat dan penerangan secara advokasi berkaitan tatacara menunggang basikal dengan selamat dalam operasi khas sempena perayaan Deepavali awal pagi tadi.

Operasi yang dijalankan dengan kekuatan seramai sembilan pegawai kanan dan 60 pegawai rendah polis itu telah diadakan di sekitar pusat bandaraya, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan P. Ramlee.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, tumpuan utama operasi khas tersebut adalah kepada penunggang basikal yang melakukan aktiviti berbasikal di sekitar pusat bandaraya.

“Penunggang basikal yang melanggar undang-undang jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 selain tindakan mengikut Seksyen 54(1) APJ 1987 kerana menunggang secara melulu.

“Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) APJ 1987 dan boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sarifudin, Seksyen 112(3) APJ 1987 pula membolehkan basikal yang digunakan oleh penunggang disita jika didapati melakukan mana-mana kesalahan ketika melakukan aktiviti berbasikal.

“Kegagalan memasang lampu depan dan belakang pada basikal pula boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35, Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959, Kaedah 42 dan Kaedah 43 boleh dikenakan jika basikal tiada brek serta loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Sarifudin berkata, seramai tujuh lelaki berusia 25 hingga 43 tahun telah ditahan di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesemua tangkapan akan dituduh di mahkamah di bawah seksyen yang sama.

“Secara keseluruhan, dalam operasi yang dilakukan bermula pukul 9 malam hingga 3 pagi tadi, sebanyak 327 saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 8 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 kerana dikesan melakukan ubah suai ekzos,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI