JOHOR BAHRU – Tindakan sekumpulan 14 individu yang duduk semeja di sebuah pusat hiburan di Taman Molek, di sini, malam semalam menerima padah apabila dikenakan kompaun keseluruhan RM70,000.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 42 tahun itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen hiburan awam.
“Menerusi Op Noda/Op Cahaya yang dijalankan, pihaknya memeriksa 15 individu terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh wanita berusia 18 hingga 42 tahun termasuk seorang penjaga premis.
“Penjaga premis berusia 27 tahun itu dikompaun RM25,000 manakala pelanggan pula dikompaun RM5,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah ‘mixing console’, tiga pembesar suara, tiga mikrofon dan tiga resit perniagaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM 10,000 atau penjara.
Katanya, manakala kompaun pula dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit 2021.- K! ONLINE