fbpx

Yayasan Peneraju berjaya cungkil 40,000 bakat bumiputera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Golongan bumiputera diberi peluang untuk meningkatkan modal insan menerusi pelbagai penawaran program berimpak tinggi

PETALING JAYA- Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mencungkil lebih 40,000 bakal individu sepanjang tempoh sembilan tahun penubuhan sekali gus mencipta modal insan lebih berkualiti.

Yayasan Peneraju dalam satu kenyataan berkata, kesemua bakat individu itu dicungkil menerusi 350 program pembiayaan merangkumi pelbagai segmen kumpulan bumiputera termasuklah B40, M40, luar bandar dan terpinggir.

“Seiring dengan dasar kerajaan, Yayasan Peneraju sentiasa meneliti peluang untuk melahirkan modal insan bumiputera yang lebih inklusif selari dengan dasar kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

 

“Susulan itu, Yayasan Peneraju merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat bumiputera dalam sektor berpendapatan tinggi menerusi beberapa platform terpilih,” katanya baru-baru ini.

Katanya, antara platform itu termasuklah melalui pendidikan, pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), profesional, teknologi dan spesialis.

“Bagi tahun 2022, Yayasan Peneraju memberi fokus kepada program-program menaik taraf dan melatih semula kemahiran agar tenaga kerja lebih bersedia serta kekal relevan dalam dunia pasca Covid-19.

“Untuk itu, kami akan memberi fokus dengan meneruskan program-program sedia ada selain mahu meluaskan penawaran program-program mengikut permintaan pasaran dan industri,” katanya.

Penempatan pekerjaan menjadi antara keutamaan Yayasan Peneraju dengan menggunakan pendekatan ‘Train & Place’ ataupun ‘Place & Train’

Pada masa sama, Yayasan Peneraju turut bekerjasama rapat dengan pemain industri, rakan-rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan program ditawarkan kekal relevan.

“Penempatan pekerjaan menjadi antara keutamaan Yayasan Peneraju dengan menggunakan pendekatan ‘Train & Place’ ataupun ‘Place & Train’ demi memastikan peserta memperoleh pekerjaan setelah tamat program.

“Yayasan Peneraju turut bertindak mengisi jurang permintaan industri dengan merangka program seterusnya menawarkan program berimpak tinggi seperti Dynamic Position Officer, Specialist in CAD/CAM – Advanced Computer Numerical Control and Manufacturing , System Integration in Automation & Robotics, Welding Inspector Level 1 & 2 serta Oil and Gas Talent Acceleration (Scaffolding Level 3) kepada individu yang layak,” jelasnya.

Menurutnya, Program Dynamic Position Officer pula mensasarkan pelaut memegang Sijil Kekompetenan Deck Kelas 1,2, atau 3 yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

Peserta program akan mendapat pensijilan yang diakreditasi dari Nautical Institute of London.

Program Dynamic Position Officer mensasarkan pelaut yang memegang Sijil Kekompetenan Deck Kelas 1,2, atau 3 yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

“Bagi program Specialist in CAD/CAM – Advanced Computer Numerical Control and Manufacturing pula, ia mensasarkan golongan tenaga kerja mahir yang ingin meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang rekabentuk 3D.

“Peserta program akan memperoleh pensijilan Solidworks dari Dassault Systemés USA setelah tamat program selain berpeluang mencapai tangga gaji yang lebih tinggi terutamanya dalam industri aeroangkasa, automotif, minyak & gas, telekomunikasi dan perubatan,” katanya.

Manakala program Welding Inspector Level 1 membolehkan para peserta memperoleh sijil CSWIP 3.0 dan peserta Welding Inspector Level 2 akan mendapat sijil 3.1 dari The Welding Institute (TWI).

Peserta program Oil & Gas Talent Acceleration (Scaffolding Level 3)  pula akan dilengkapkan dengan modul dan sijil berkaitan dalam bidang perancah termasuk Certificate of Competency Advance Scaffolding Competency Training for Tubular and Modular Types, AESP, BRS & OGSP. Program ini memberi peningkatan kerjaya kepada peserta untuk menjadi penyelia, pengurus projek atau pengurus pembinaan.

Yayasan Peneraju turut menyifatkan objektif program tersebut bagi menyumbang kepada peningkatan jumlah bumiputera yang memiliki pensijilan kemahiran tinggi diiktiraf pihak industri tempatan dan antarabangsa.

“Kami akan sentiasa komited untuk merealisasi aspirasi lebih ramai modal insan bumiputera agar mereka terus kekal relevan, berdaya saing dan memperoleh pendapatan tinggi,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI