fbpx

Spektakular dua dekad Misha Omar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISHA memukau seramai 737 peminatnya pada penganjuran Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang yang berlangsung Sabtu lalu di Panggung Sari, Istana Budaya.

ENTAH mengapa, hati penulis berdegup laju sebaik sahaja tirai pentas utama Panggung Sari, Istana Budaya terbuka sambil diiringi mainan muzik oleh kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang mengalunkan irama lagu Semoga Abadi pimpinan pengarah muzik, Nasran Nawi.

Walaupun kelibat penyanyi yang beraksi di pentas berprestij tersebut masih belum muncul di hadapan khalayak, sorakan penuh gema memenuhi ruang dewan.

Masing-masing tidak sabar menantikan kemunculan penyanyi hebat Misha Omar beraksi pada Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang selepas sekian lama keghairahan menyaksikan persembahan di atas pentas ‘terkunci’ dek pandemik Covid-19.

TAK perlu berlebihan. Cukup berdiri seorang di atas pentas, itu sudah menjadi daya tarikan paling kuat penonton ketika menyaksikan persembahan Misha.

Penantian serta kerinduan peminat terubat sebaik sahaja Misha melangkah masuk dengan mengenakan busana anggun berona kuning rekaan pereka fesyen tersohor, Michael Ong.

Serta-merta ruangan yang sedia bergema pada malam Sabtu lalu bertambah riuh dengan sorakan peminat fanatik penyanyi asal Kelantan itu.

Terkesima. Demikian riak wajah penyanyi bersuara merdu itu ketika berdiri dan melihat di hadapan mata sendiri kehadiran 737 orang penonton yang memenuhi Panggung Sari.

Kekuatan Misha

Sempat memberi tunduk hormat kepada penonton, Misha membuka tirai persembahan dengan energi luar biasa menerusi lantunan lagu Cinta Adam dan Hawa.

Tidak memerlukan masa yang lama, Misha pantas ‘menarik roh’ penonton agar terlena dalam gemersik suaranya.

Itulah kekuatan yang ada pada pemilik nama lengkap Samihah @ Aisah Omar itu setiap kali ‘membuka mulut’, tidak kira menerusi penganjuran konsert berskala besar mahu pun sekadar menyanyi ‘suka-suka’ dalam media sosial.

DEMI memuaskan peminat, Misha memberikan persembahan sehabis baik.

Kata Misha, dia pada awalnya kurang yakin untuk menerima jemputan mengadakan konsert di Panggung Sari kerana bimbang andai vokalnya ‘berkarat’ kerana sudah hampir dua tahun tidak membuat persembahan berskala besar.

“Betul, saya takut nanti kalau peminat kecewa. Tapi puas Abang Nasran (pengarah muzik OSK) pujuk. Saya tanya dia sama ada saya boleh menyanyi lagi atau tidak. Dia kata boleh.

“Jadi selepas 19 tahun bergelar anak panggung dan pada usia 40 tahun, inilah kali pertama saya mengadakan konsert solo orkestra pertama di Istana Budaya,” ujarnya penuh makna.

Lontaran vokal Misha pada malam tersebut tidak perlu berlebihan kerana dia cukup dikenali sebagai penyanyi yang bijak mengawal lontaran suara. Setiap sebutannya juga cukup jelas dan diselitkan unsur dinamik pada sesetengah rangkap lagu tertentu seperti Pulangkan.

Selain bijak menarik peminat menerusi lantunan vokal, Misha juga handal berceloteh dengan gaya bersahaja dan spontan bersama peminatnya.

Sesekali, Misha mencuri masa dengan menyelitkan kisah ketika zaman mudanya apabila pernah menjadi mangsa ‘friendzone’ kepada seorang lelaki. Kejadian tersebut membawa idea terhasilnya beberapa buah lagu berdasarkan kisah yang dilaluinya.

“Orang lelaki kalau dia dah nampak ciri-ciri nak buat ‘friendzone’ dengan kita, jangan tunggu lama. Angkat sahaja kaki, blah!” selorohnya sebelum kemudian mendendangkan lagu Dedebu Cinta.

Tribute hiba

Sama seperti mana-mana konsert penyanyi lain, Misha ‘menghilang’ seketika ke belakang pentas bagi menukar persalinan yang kedua.

Pada ketika itulah, layar skrin pentas memaparkan kata-kata beberapa komposer ternama negara yang pernah bekerjasama dengan penyanyi itu. Antaranya, Azmeer, Ajai, Datuk M. Nasir dan Sharon Paul.

Azmeer secara jujurnya membuat pengakuan bahawa suara Misha sebenarnya tidak sedap. Benar! Itu yang terluncur dari bibirnya dalam klip video yang dimainkan.

DEDAH Misha, dia pernah digelar lembu oleh Datuk Ramli MS atau Tok Ram (belakang) pada awal pembabitannya dalam dunia nyanyian.

“Suara Misha bukan sedap sangat pun. Biasa-biasa sahaja,” ungkap komposer lagu Cinta Adam dan Hawa itu selamba.

Bukan sahaja Azmeer, malah sifu yang bertanggungjawab membawa Misha ke gelanggang seni hiburan, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan turut berkata perkara yang sama kepada penyanyi itu ketika dirinya masih bertatih membina nama sebagai penyanyi.

“Saya pernah tanya Abang Dee (panggilan Adnan Abu Hassan) sama ada saya boleh menyanyi atau tidak? Kata dia, suara saya bukan sedap sangat. Biasa-biasa sahaja.

“Tapi Abang Dee kata, kalau saya menyanyi dengan penuh penghayatan, tak perlu suara yang sedap pun, saya mampu menakluk pendengar,” jelas Misha.

Misha tiada ganti

Kata-kata tersebut memang benar. Buktinya, penonton dibuai rasa hiba tatkala Misha yang ketika itu sudah menukar persalinan serba merah Christian Dior mendendangkan tiga buah lagu penyanyi kesayangannya untuk segmen tribute.

Slot khas untuk Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dan rakan seperjuangannya, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin memaksa penonton menahan sebak terutama ketika Misha mendendangkan lagu Kesetiaan, milik Siti Sarah.

Terbuai-buai, namun pada masa sama ada rasa kepuasan. Persembahan Misha ibarat nafas pemula kepada penyanyi lain yang juga bercita-cita untuk membuat persembahan pentas berskala besar selepas pandemik merencatkan segalanya.

PERSEMBAHAN Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang Misha Omar yang berlangsung selama dua jam malam Sabtu lalu meninggalkan 1001 kenangan dan senyuman puas untuk Misha dan juga peminatnya. – ISTANA BUDAYA

Cukup dirinya seorang berada di atas pentas dan diiringi persembahan pemuzik, Misha tidak memerlukan pemandangan pentas yang sarat, penari latar sekampung atau gimik untuk memukau penonton.

Sebelum menutup acara, Misha tidak lupa menyampaikan ‘lagu cari makan’ iaitu Bunga Bunga Cinta yang sedari awal ditunggu-tunggu peminat. Sebagai penamat konsert, penyanyi itu meninggalkan momen indah untuk dikenang dengan menghadiahkan lagu Sampai Bila.

Beraksi di atas pentas besar dengan dihadiri peminat di depan mata selepas sekian lama ‘menggantung’ mikrofon membuatkan Misha menitiskan air mata ketika persembahan tamat.

Teriakan ‘menggila’ peminat juga bukti penyanyi itu kekal ampuh sebagai artis wanita berkaliber. Itulah dia, Misha Omar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI