LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp terpaksa akur tidak dapat menurunkan khidmat perancang bahagian tengah, Naby Keita untuk aksi Liga Juara-Juara bertemu Atletico Madrid di Anfield awal pagi esok.
Keita sekadar beraksi selama 19 minit sebelum terpaksa dikeluarkan kerana masalah hamstring yang dialami ketika seri 2-2 dengan Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lalu.
Situasi itu tentunya meresahkan Klopp yang kini sudahpun kehilangan tiga pemain tengah berpengaruh seperti Fabinho, Thiago Alcantara dan James Milner selain bintang muda, Harvey Elliott.
“Kami masih menanti keputusan imbasan terhadap kecederaan hamstringnya dan selepas itu barulah kami boleh analisis peluangnya untuk bermain,” kata Klopp.
Pengendali dari Jerman itu berkemungkinan besar terpaksa mengharapkan sentuhan Alex Oxlade-Chamberlain untuk mengisi ketiadaan Keita berdasarkan prestasi yang ditampilkannya ketika menentang Brighton.
Dalam masa sama, Klopp mengakui, bimbang dengan taktikal permainan diterapkan pengendali Atletico, Diego Simeone meskipun skuad bimbingannya menang 3-2 di Wanda Metropolitano pada 20 Oktober lalu.
“Saya menghormati Simeone dan Atletico kerana mereka adalah juara Sepanyol.
“Namun, saya tidak begitu menggemari falsafah permainan mereka. Ini adalah normal kerana setiap jurulatih mempunyai corak kegemaran yang tersendiri, begitu juga saya dan Atletico,” jelas Klopp. – AGENSI