KOTA BHARU – Pendekatan mewajibkan semua penjawat awam menerima suntikan vaksin merupakan usaha berterusan yang dilakukan sebagai persediaan Kelantan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, peralihan ke Fasa 4 PPN itu memerlukan kerjasama semua pihak terutamanya penjawat awam apabila Kelantan kini masih berada pada Fasa 3.
“Jika lambat penjawat awam menerima vaksin, maka lagi lambat Kelantan akan beralih ke Fasa 4 PPN seperti negeri-negeri lain.
“Sehingga kini, jumlah penerima vaksin bagi dos pertama di Kelantan sudah mencecah hampir 90 peratus, manakala dos kedua sudah 86 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Izani, menerusi mesyuarat hari ini, kerajaan negeri telah memutuskan bahawa semua penjawat awam wajib mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Ujarnya, penjawat awam yang ingkar berbuat demikian akan dikenakan tindakan tatatertib.
Tambahnya, kerajaan negeri telah memanggil penjawat awam yang belum divaksin untuk proses kaunseling bagi mengenal pasti punca sebenar mereka menolak vaksin.