fbpx

Sambutan Deepavali beri rezeki pada peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemilik kedai aksesori wanita, Thamilselvi Segar menyusun pelbagai aksesori wanita di kedainya di Little India, Jalan Lahat, Ipoh. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Sambutan Deepavali kali ini mengundang rezeki kepada para peniaga setelah beberapa bulan tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19.

Tinjauan Kosmo! di Little India Ipoh mendapati, masyarakat India memanfaatkan masa cuti mereka untuk membuat persiapan akhir bagi menyambut Pesta Cahaya itu.

Pemilik kedai aksesori wanita, Thamilselvi Segar berkata, perniagaannya sangat baik apabila jualan meningkat 60 peratus berbanding tahun lalu.

“Meskipun tahun ini sambutannya sederhana disebabkan Covid-19 tetapi saya bersyukur perayaan ini dapat membantu meningkatkan hasil jualan.

“Kini, perniagaan baru hendak pulih berikutan kebenaran pengerakan rentas daerah dan negeri yang berkuatkuasa bulan lepas,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga kacang puteh, Vesu Perisamy berkata, walaupun jualan perlahan tetapi situasinya lebih baik berbanding tahun lalu apabila penduduk tidak keluar rumah.

“Tahun ini tak meriah seperti tahun-tahun sebelum pandemik kerana Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membenarkan 11 sahaja khemah yang dipasang di sekitar Little India.

“Selalunya menjelang musim perayaan, penuh khemah di kawasan Little India dan hasil jualan boleh mencecah RM5,000-RM10,000 sehari,” katanya.

Seorang peniaga kacang putih, Vesu Perisamy membungkus kuih manisan untuk pelanggannya di Little India, Jalan Lahat, Ipoh. – Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

Pemilik Bala Sweet ini berkata, tahun-tahun sebelum adanya Covid-19, pengunjung akan mengunjungi Little India sehingga pukul 2 pagi tetapi kini sehingga 10.30 malam sahaja.

“Dulu, meriah kerana kami dibenarkan beroperasi sehingga pukul 2 pagi, sekarang kena ikut prosedur operasi standard (SOP), jadi sehingga pukul 10.30 malam sahaja lah,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI