PUTRAJAYA – Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan kes warga Malaysia, Nagaenthran Dharmalingam yang bakal dihukum mati atas kesalahan dadah di Singapura.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sendiri turut telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya, Dr. Vivian Balakrishnan berhubung kes jenayah tersebut.
“Kementerian Luar menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di republik itu sentiasa memantau isu ini sejak kes tersebut dilaporkan pada 2009 lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Individu berkenaan ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika memasuki negara tersebut atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diarmorfin seberat 42.72 gram.
Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010 lalu di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973.
Proses rayuan melalui mahkamah ujar Saifuddin, turut sudah pun dibuat sehingga peringkat terakhir iaitu menerusi permohonan Pengampunan Presiden Singapura selaku ketua negara.
Bagaimanapun, permohonan itu juga telah ditolak secara rasmi pada 1 Jun 2020 lepas dan Nagaenthran, 33, bakal dihukum mati di Kompleks Penjara Changi pada 10 November depan.
“Saya selepas itu menerima surat daripada Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang memaklumkan kes ini,” tambah beliau.
Organisasi bebas yang berpusat di Hong Kong, China itu ujarnya, memohon bantuan Wisma Putra agar dapat membangkitkan kes tersebut secara diplomatik dengan kerajaan Singapura.
ADPAN yang disertai sejumlah 28 negara dari rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia dan Singapura, berpendapat bahawa tertuduh hanya menjadi mangsa sindiket sebagai keldai dadah serta memiliki IQ serendah 69 dan dianggap Orang Kurang Upaya kerana menghidap gangguan hiperaktiviti defisit perhatian. -K! ONLINE