BACHOK – Tiga pengedar dadah ditahan selepas salah seorang daripada mereka cuba mengacukan sepucuk pistol jenis Revolver ke arah polis semasa mereka dicekup di dalam sebuah kereta di tepi tali air Kampung Keting, Gunong di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang berusia 26, 38 dan 39 tahun ditahan semasa mereka menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, semasa polis menahan kereta berkenaan, salah seorang suspek dilihat mengambil sepucuk pistol dan cuba mengacukan ke arah polis.
Menurutnya, polis berjaya menghalang tindakan itu dan ketiga-tiga suspek bertindak agresif dengan cuba meloloskan diri, namun gagal.
“Pemeriksaan pada tubuh badan salah seorang suspek telah menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38 berwarna perak dengan tulisan Smith & Wesson yang mengandungi enam biji peluru hidup.
“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk 20 gram heroin, 66 biji pil kuda, 7.6 gram syabu dan empat biji pil epam bernilai RM10,000 di dalam kereta itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Ketua Polis Kelantan bersama Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah, Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini hari ini.
Menurut Shafien, selain itu, polis turut menemui 28 biji peluru, satu sarung pistol, sepasang gari, kunci gari, sebilah keris dan empat telefon bimbit di dalam kereta tersebut.
Ujarnya, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek terbabit dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini sejak dua tahun lalu.
“Berdasarkan semakan, suspek berusia 38 tahun didapati memiliki 17 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, samun dan gengsterisme. Suspek berusia 26 tahun pula mempunyai 14 rekod lampau manakala seorang lagi ada tujuh rekod lampau.
“Polis tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis kerana mereka memiliki gari,” katanya.
Shafien berkata, polis percaya tangkapan tiga suspek itu sudah menyelesaikan kes samun bersenjata yang berlaku di Gua Musang.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 39A (1), Seksyen 12 (2), Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama dan Seksyen 8 Akta Senjata Api, Seksyen 89 (a) Akta Polis 1967 kerana memiliki gari dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis.-K! ONLINE