MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan melakukan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyenaraikan sukan mempertahankan diri untuk dipertandingkan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi berbincang berkenaan perkara itu untuk menambah senarai 24 jenis sukan yang dipertandingkan dalam MSSM.
Tegas Norza, cadangan itu diusulkan selepas melihat sukan mempertahankan diri seperti wushu, karate mahupun sukan silat telah banyak menyumbangkan pingat di temasya-temasya sukan.
“Sukan mempertahankan diri ini sudah banyak memberi sumbangan pingat dalam temasya sukan. Sehubungan itu, mesyuarat berpendapat pembangunan sukan seperti karate, silat dan wushu perlu dipertimbangkan.
“Setiap kali mereka pergi ke KPM, KPM memaklumkan akta perlu diubah bagi memasukkan sukan seni mempertahankan diri. Oleh yang demikian, MOM telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk berbincang lebih lanjut dengan KPM,” katanya ketika ditemui di Wisma OCM semalam.
Dalam pada itu, Norza mengakui pihaknya masih menanti tarikh sebenar penganjuran Sukan SEA ke-31 yang sebelum ini diumumkan akan diadakan pada pertengahan Mei 2021 nanti.
“Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Jawatankuasa Penganjur telah mencadangkan Sukan SEA ke-31 diadakan pada pertengahan Mei 2021. Ia adalah lanjutan daripada penganjuran temasya Sukan SEA ke-32 di Kemboja iaitu pada 5 hingga 15 Mei 2023.
“Justeru, MOM masih menanti jawapan daripada pihak penganjur tarikh sebenar penganjuran Sukan SEA kali ke-31 nanti,” tambahnya. -K! ONLINE