fbpx

Mayat nelayan hilang ditemui terdampar di pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT mangsa ditemukan terdampar di Pantai Tanjung Agas di lokasi hari ini.

PEKAN – Pencarian seorang nelayan yang dilaporkan hilang dipercayai terjatuh dari botnya di muara sungai Kuala Pahang di sini berakhir apabila mayat mangsa ditemui terdampar di Pantai Tanjung Agas, di sini hari ini.

Mayat mangsa, Mohd. Rashid Nawang, 42, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 5.50 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, operasi SAR dimulakan kira-kira pukul 7 pagi tadi membabitkan pasukan bomba, polis dan agensi lain serta turut dibantu penduduk kampung.

“Seramai 20 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Peramu dah Pekan dikerahkan dalam operasi SAR manakala operasi pencarian dibuat di atas permukaan menggunakan empat bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pencarian meliputi sepanjang persisiran pantai dari muka Kuala Pahang ke arah Tanjung Selangor dan muka Kuala Tanjung Selangor menghala ke Sungai Miang dengan radius sejauh tiga kilometer.

“Ketika operasi pihak bomba mengalami sedikit kesukaran berikutan cuaca buruk dan terdapat gelombang besar serta angin kencang,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pekan untuk tindakan lanjut sebelum dituntut waris.

Terdahulu, kehilangan mangsa disedari nelayan lain yang menemui bot mangsa di muara sungai Kuala Pahang berdekatan rumah api dan benteng pemecah ombak kira-kira 500 meter dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI