fbpx

LCMB kurangkan penggunaan tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim.

PUTRAJAYA – Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 29 Oktober lalu mampu mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 51,000 kilo tan minyak setara bersamaan dengan potensi pengurangan pelepasan karbon sebanyak 165 juta tan menjelang tahun 2030.

Menteri Alam Sekitar dan Air,  Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah itu bersamaan pengurangan
sebanyak tiga juta kenderaan di atas jalan raya atau penanaman sebanyak 410 juta pokok yang dapat bertindak sebagai ‘carbon sink’ bagi penyerapan karbon.

Menurutnya, menerusi LCMB, ia menyediakan strategi dan pelan tindakan untuk sektor pengangkutan darat bagi mencapai objektif pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah kaca (GHG) menjelang tahun 2030.

“LCMB mempunyai empat bidang fokus yang disokong oleh 10 strategi dan 45 pelan tindakan iaitu, Bidang Fokus A meliputi pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah kaca GHG melalui penambahbaikan kecekapan bahan api dan pelepasan GHG oleh kenderaan.

“Bidang Fokus B pula pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan mobiliti elektrik manakala, Bidang Fokus C iaitu pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan bahan api alternatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, seterusnya Bidang Fokus D iaitu pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui peralihan mod pengangkutan.

Jelasnya, LCMB adalah sejajar dengan matlamat dan strategi Meningkatkan Mobiliti Mesra Alam di bawah Bab 8 iaitu mempercepat Pertumbuhan Hijau untuk Kemampanan dan Daya Tahan, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang memberi fokus kepada keperluan pembangunan bandar rendah karbon.

“LCMB juga menyokong sasaran ditetapkan di bawah Dasar Pengangkutan Negara dan saling melengkapi dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bagi memastikan adaptasi teknologi yang lestari dan mesra alam sekitar untuk memacu pembangunan industri automotif negara yang berdaya saing dan menarik serta kondusif kepada pelabur,” ujarnya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI