PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan lima buah negeri petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, keadaan hujan lebat berserta ribut petir itu diramalkan akan melanda negeri Perak, Kelantan, Selangor, Sarawak dan Sabah sehingga 5 petang nanti.
“Di Perak, kawasan yang terlibat ialah di Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak. Sementara di Kelantan, kawasan yang dijangka mengalami cuaca sama ialah di Kuala Krai.
“Manakala di Selangor pula, cuaca buruk boleh berlaku di Sabak Bernam, Klang, Petaling dan Kuala Langat. Manakala di Sarawak, kawasan yang dikenakan amaran ribut petir ialah di Kuching, Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit) dan Limbang,” katanya di sini tadi.
Selain itu, turut akan mengalami hujan lebat berserta ribut petir ialah beberapa daerah di Sabah seperti di Pedalaman (Sipitang, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Tongod, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat. – K! ONLINE