fbpx

Hatrik Lewandowski pacu Bayern ke pusingan kalah mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LEWANDOWSKI (kiri) meledak hatrik ketika Bayern mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati menewaskan Benfica awal pagi tadi. - AFP

MUNICH – Penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski mencipta sejarah tersendiri apabila meledak hatrik pada penampilannya yang ke-100 dalam saingan Liga Juara-Juara.

Menariknya, tiga gol Lewandowski membolehkan Bayern mara ke pusingan kalah mati musim ini hasil kemenangan 5-2 ke atas Benfica pada aksi keempat Kumpulan E di Allianz Arena awal pagi tadi.

Secara keseluruhan, ia adalah koleksi jaringan ke-81 buat penyerang antarabangsa Poland berusia 33 tahun itu dalam 100 kaps di pentas Liga Juara-Juara.

“Saya tidak menjangka bermain perlawanan (Liga Juara-Juara) sebanyak ini dengan menjaringkan banyak gol serta bantuan jaringan.

“20 minit pertama saya boleh katakan saya langsung tak menyentuh bola. Saya terus bersabar dan menanti peluang untuk menambah jaringan dalam perlawanan ini,” kata Lewandowksi.

Bekas ‘mesin gol’ Lech Poznan dan Borussia Dortmund itu berupaya menghasilkan empat jaringan peribadi ke atas Benfica, namun gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan tersebut.

Ketua jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann memuji impak cemerlang Lewandowski dan percaya bintangnya itu sepatutnya sudah lama diiktiraf sebagai penyerang terbaik di dunia bersama-sama Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

“Statistik menunjukkan segala-galanya. Dia mempunyai kekuatan karakter dan sentiasa mahu menjaringkan gol. Dia patut diingati sebagai seorang penyerang terbaik di dunia,” jelasnya.

Selain ledakan hatrik Lewandowski, dua lagi gol skuad juara Jerman itu diperoleh menerusi Serge Gnabry dan Leroy Sane.

Sebagai rekod, Bayern kini memenangi kesemua empat aksi Kumpulan E setakat ini dengan 12 mata, enam mata meninggalkan pasukan tempat kedua, Barcelona dalam saingan peringkat kumpulan yang berbaki dua perlawanan lagi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI