fbpx

Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al- Sultan Abdullah.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak itu selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diperjelaskan di sini bahawa Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Peru) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran Baginda terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan. Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masIh lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga mash ditahap yang membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.

“Namun, ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik,” ujarnya.

Terdahulu, Agong telah berkenan menerima menghadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Tab Mahmud di istana Negara pada 2 November 2021.

Pada sesi menghadap itu, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Neger Sarawak telah menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri Sarawak kepada Seri Paduka Baginda agar Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak dapat ditamatkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI