fbpx

TUDM perlu 24 lagi helikopter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ACKBAL Abdul Samad (depan) menyempurnakan majlis Penutup Eksesais Paradise Siri 8/2021 di Auditorium Inspra di Pangkalan Udara Kuantan di Kuantan hari ini. -Foto Shaikh Ahmad Razif

KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memerlukan tambahan 24 helikopter bagi memenuhi keperluannya terutama dalam melaksanakan operasi mobiliti udara.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, berdasarkan keperluan semasa TUDM itu memerlukan 36 buah helikopter.

“Setakat ini kita (TUDM) ada 12 EC725, jadi kita perlu 24 lagi helikopter. Untuk itu, kita rancang dua strategi kepada kerajaan iaitu jangka pendek dan jangka panjang.

“Untuk jangka pendek, diluluskan oleh kerajaan iaitu penyewaan empat helikopter jenis Agusta Westland AW139 selama empat ke lima tahun. Ia akan diperoleh TUDM dalam masa terdekat.

“Bagi pelan jangka panjang, TUDM berharap dapat memiliki 24 lagi helikopter bagi melengkapkan 36 helikopter yang diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penutup Eksesais Paradise Siri 8/2021 di Auditorium Inspra di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini.

Eksesais Paradise dilaksanakan oleh TUDM selama 12 hari bermula 22 Oktober lalu sehingga hari ini.

Ackbal dalam pada itu berkata, pesawat pemintas MiG-29N kini dalam proses pelupusan setelah hampir tujuh tahun ia tidak diterbangkan.

“Kita (TUDM) tidak ada perancangan untuk menerbangkan pesawat ini. Ia dalam proses dilupuskan dan kita telah pun diluluskan perolehan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) bagi menggantikan MiG-29N.

“Sebanyak 18 pesawat diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) manakala 18 lagi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Beliau berkata, FLIT/LCA bukan sahaja akan menggantikan MiG-29N malah dua pesawat lain yang dimiliki TUDM iaitu Aermacchi M-346 dan Hawk yang juga dalam perancangan untuk dilupuskan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI