NEW YORK – Seorang lelaki mendedahkan bahawa dia berumur 17 tahun apabila mengahwini isterinya yang ketika itu berusia 71 tahun dalam majlis perkahwinan yang berlangsung pada 2015, lapor akhbar New York Post semalam.
Lelaki yang dikenali sebagai Gary dan kini berumur 23 tahun itu menyiarkan kehidupannya bersama Almeda, 75 di akaun TikToknya. Ramai netizen meninggalkan pelbagai komen mengenai hubungan tersebut termasuk meminta Gary menjauhi orang yang menentang kebahagiaan dia dan isterinya.
Membalas komen peminat tersebut, Gary mengucapkan tahniah kepada mereka dan meluahkan kegembiraan apabila peminatnya mengikut kata hati serta memilih meneruskan percintaan tidak kira apa tanggapan orang lain.
“Tahniah juga kerana berani mempertahankan cinta kamu dan pasangan selain menampilkan siapa diri kamu sebenarnya yang memilih untuk mencintai sesiapa sahaja tanpa mengambil kira penerimaan orang luar.
“Kadangkala situasi menjadi sukar apabila keluarga tidak memberikan sokongan dan tidak turut bahagia bersama, namun anda perlu untuk menjauhi sesiapa sahaja termasuk ahli keluarga atau sebaliknya,” kata seorang pengguna media sosial.
Pasangan itu berkahwin pada tahun 2015, dua minggu selepas kematian anak lelaki Almeda, Robert.
Almeda turut menjadi balu setelah 43 tahun berkahwin apabila suami pertamanya, Donald meninggal dunia pada tahun 2013 setelah tujuh bulan dirawat di hospital akibat komplikasi diabetes.
Setelah berkahwin, Gary dan Almeda berpindah ke rumah wanita itu dan tinggal bersama cucu lelakinya dengan seorang daripada mereka berumur tiga tahun lebih tua berbanding Gary. – Agensi