IPOH – Peristiwa Residen British Perak, J.W.W. Birch mati dibunuh di Pasir Salak sepatutnya diangkat sebagai hari memperingati perjuangan tokoh-tokoh pahlawan Melayu Perak menentang pentadbiran kolonial.
Ia adalah sebahagian daripada sejarah besar negeri Perak yang perlu disebar luas dan difahami semua peringkat usia.
Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli berkata, peristiwa pembunuhan Birch yang berlaku pada pagi 2 November 1875 iaitu 146 tahun lalu semakin dilupakan.
Kata beliau, rentetan daripada pembunuhan Birch dan penentangan orang-orang Melayu itu juga telah mengubah landskap politik dan pemerintahan negeri Perak.
“Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor adalah nama yang biasa didengar, disebut generasi muda malah nama ini diabadikan pada jalan dan tempat tetapi ramai yang kabur tentang kedua-duanya selain Siputum.
“Sebab itu penting peristiwa pembunuhan Birch ini diangkat supaya intipati kejadian ini diketahui bagi memperingati perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu,”katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Histourism, Mohd. Fareq Rizal Mohd. Fisal berkata, peristiwa bersejarah itu perlu diketengahkan bagi membangkitkan semangat patriotisme generasi muda.
“Kalau bukan kita siapa lagi? Misalnya pihak berkenaan boleh menyiarkan kupasan kisah kepahlawanan ini menerusi media massa seperti radio dan televisyen,” ujarnya.-K! ONLINE