fbpx

Penduduk susah jambatan runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Wahid menunjukkan jambatan besi yang runtuh hingga menyukarkan penduduk untuk berulang alik dan menjual hasil tanaman di Kampung Sungai Pau dan Kampung Padang Toi di Sik baru-baru ini.

SIK – Lebih 200 penduduk Kampung Sungai Pau dan Kampung Padang Toi di sini, berdepan kesulitan apabila jambatan besi yang digunakan untuk mengangkut hasil kebun runtuh hingga memaksa mereka melalui jalan alternatif yang jauh dan tidak sempurna.

Jambatan berusia 15 tahun berukuran 36 meter panjang dan lima meter lebar itu rosak teruk pada bahagian lantai ekoran runtuhan tebing Sungai Chepir akibat banjir awal bulan lalu.

Penduduk kampung, Abdul Wahid Hasan, 50, berkata, penduduk sering menggunakan jambatan tersebut untuk ke kebun kelapa sawit dan getah.

Selain itu, katanya, pekebun-pekebun juga menggunakan jambatan besi itu untuk berulang-alik ke Pekan Sik bagi menjual hasil tanaman mereka.

“Laluan terputus terus kerana separuh lantai besinya patah dihanyutkan arus deras, manakala kedua-dua tebing semakin terhakis.

“Keadaan hakisan tebing sungai berlaku sejak lebih 10 tahun lalu selepas kejadian banjir besar sehingga menyebabkan air Su­ngai Chepir melimpah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, jambatan besi itu membolehkan kereta dan juga lori kecil berulang alik membawa hasil kebun untuk dijual kepada peraih yang jaraknya kira-kira 10 kilometer (km) sahaja.

Namun, menurut Abdul Wahid, kini mereka terpaksa menggunakan jalan ladang lain yang agak teruk dengan lopak dan tanah merah sejauh 15km untuk membawa keluar hasil kebun,” ujarnya.

Pemilik kebun kelapa sawit, Mohd. Zuki Ibrahim, 59, pula berkata, pekebun-pekebun kecil terpaksa menggunakan jalan lain untuk membawa hasil jualan kebunnya ke Pekan Sik.

“Terdapat 30 blok tanah kebun di seberang sana dan jambatan ini merupakan jambatan penghubung utama untuk penduduk kampung berulang-alik bekerja dan mengeluarkan hasil tanaman untuk dijual setiap hari.

“Penduduk Kampung Sungai Pau dan Kampung Padang Toi setiap hari berulang alik bekerja di kebun getah, kebun kelapa sawit, dusun buah dan sebagainya turut menggunakan jambatan tersebut,” katanya.

Ujarnya, penduduk kampung ada melakukan kerja-kerja gotong-royong untuk mengukuh­kan laluan jambatan besi itu bagi laluan motosikal dan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, jambatan itu semakin rosak dan laluannya terputus terus serta tidak boleh digunakan lagi akibat banjir pada bulan lalu,” tambahnya.

Sehubungan itu, penduduk berharap pihak berkuasa dan wakil rakyat dapat membantu mereka untuk membina semula jambatan tersebut dan membaiki tebing sungai untuk mengelak kejadian sama berulang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI