fbpx

Kerajaan komited sokong e-Sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA merupakan salah sebuah negara yang sudah dikenal pasti mempunyai bakat-bakat pelapis dalam industri e-Sukan.

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

KERAJAAN komited, malah akan memberi lebih tumpuan kepada usaha memperkembangkan industri e-Sukan dan sub-sektor sukan berkenaan yang semakin popular dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda di negara ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ Jumaat lalu menyaksikan arena sukan negara termasuk industri e-Sukan terus mendapat manfaat apabila peruntukan berjumlah RM239 juta diumumkan dalam usaha memperkasakan bidang tersebut.

Menurut Zafrul, kerajaan memperuntukan sebanyak RM20 juta bagi pembangunan e-Sukan kebangsaan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

ZAFRUL memaklumkan kerajaan memperuntukan sebanyak RM20 juta bagi pembangunan e-Sukan termasuk RM5 juta untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sukan Dron.

“Industri e-Sukan kini menjadi fenomena baharu dalam kalangan anak muda dan dilihat mempunyai prospek terbaik bagi pembangunan sukan negara.

“Justeru, kerajaan turut bercadang untuk berikan pengecua­lian cukai pendapatan ke atas hadiah wang kemenangan e-Sukan yang layak,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah berkata, industri e-Sukan sememangnya mempunyai potensi dan nilai komersial tinggi yang mampu menjana pendapatan kepada pemainnya.

Menurut beliau, sejak tahun 2019, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM45 juta bagi menyokong dan menggalakkan perkembangan industri berke­naan.

“Selain usaha meningkatkan lagi pendedahan sektor e-Sukan dalam kalangan masyarakat umum, kerajaan juga berhasrat untuk meneroka pelbagai sub-sektor di dalam industri itu sendiri.

“Ini kerana, setiap sub-sektor berkenaan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan baharu kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Akademi Soloz di Johor Bahru baru-baru ini.

MOHD. SHAHAR mendengar penerangan daripada Nureddy Nursal atau DaddyHood mengenai e-Sukan semasa melawat Akademi Soloz di Johor Bahru baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang pemain e-Sukan negara, Muhammad Mukhriz Lutfi Fariq Adlan, 22, memberitahu, dia berharap kerajaan akan dapat memper­tingkatkan kemudahan industri e-Sukan’ negara dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat baharu.

“Selain daripada bantuan kewangan dalam bentuk penajaan dan pemasaran bagi memboleh­kan industri ini lebih berkembang maju pada masa depan, kami juga berharap akan ada satu akademi yang dibangunkan oleh kerajaan sendiri dalam usaha mencari lebih ramai bakat pelapis.

“Ini kerana, majoriti pemain sukan e-Sukan negara tidak mempunyai platform untuk mereka mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi sedangkan mereka mempunyai potensi besar dalam industri ini,” kata­nya yang menggunakan nama samaran IronPro.

Pendapat sama dikongsikan Pengurus Produksi Homebois, Mohamad Nor Mohd. Mochtar, 30, yang berharap kerajaan dapat menyediakan banyak fasiliti khususnya bagi pembangunan industri itu di peringkat akar umbi.

“Malaysia merupakan salah sebuah negara yang sudah dikenal pasti mempunyai bakat-bakat pelapis dalam industri ini.

“Jadi kita berharap perkara itu akan dapat perhatian kerajaan pada masa akan datang,” jelasnya yang sudah tiga tahun berkecimpung dalam bidang tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI