ALOR SETAR – Beberapa jalan dan perumahan di Changlun dan Baling dekat sini dilanda banjir kilat malam ini.
Kejadian mengakibatkan kenderaan yang melalui Jalan Bukit Kayu Hitam – Paya Kemunting Jitra terkandas.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kubang Pasu menerusi hantaran di Facebook meminta semua pengguna yang menggunakan laluan tersebut supaya berhati-hati.
Ia berikutan kejadian banjir kilat yang berlaku di lokasi yang terletak berhampiran Taman Jelutung, Changlun.
Paras banjir kilat mencecah sehingga 0.4 meter dan telah ditutup untuk laluan kenderaan ringan bermula pukul 10 malam tadi.
Pihak JKR bersama pihak konsesi THB telah memasang papan tanda amaran dan lencongan sementara di tapak.
Turut membantu pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Laluan trafik dibuka kembali pada pukul 11.15 malam selepas keadaan reda. Selain itu, kawasan kediaman terletak berhampiran laluan berkenaan turut dimasuki air deras.
Turut dilanda banjir kilat ialah Kampung Banggol Lada, Baling dan operasi memindahkan mangsa banjir sedang dijalankan pasukan penyelamat. – K! ONLINE.