BRACKLEY – Pelumba pasukan Mercedes, Lewis Hamilton menegaskan, dia masih memiliki motivasi yang cukup tinggi dalam perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini.
Juara dunia tujuh kali itu mengakui, kerja amal yang dilakukan di luar litar sedikit sebanyak memberi kekuatan mental kepadanya untuk terus menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlumbaan.
Katanya, menerusi kekuatan mental yang dimiliki, dia sentiasa mempunyai sikap tenang setiap kali berlumba, sekali gus membantunya untuk bersaing merebut kejuaraan dunia musim ini dengan pelumba Red Bull, Max Verstappen.
“Secara peribadi, saya dapat rasakan prestasi pada musim ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Mungkin kerja-kerja amal yang dilakukan di luar menjadi sumber inspirasi untuk saya.
“Saya juga tidak lagi peduli dengan perkara-perkara remeh di sini. Fokus saya adalah datang ke litar dan lakukan tugas yang diamanahkan. Saya akan kekal positif seperti ini,” ujar Hamilton.
Menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Mexico di Litar Hermanos Rodriguez hujung minggu ini, dia berharap mampu untuk meneruskan aksi terbaik bagi mencabar takhta kejuaraan dunia.
“Saya harap aura positif ini akan terus membantu saya ketika perlumbaan. Sekarang saya dapat rasakan sudah ada matlamat hidup, bukanlah untuk mengabdikan diri pada perlumbaan semata-mata,” katanya. – AGENSI