fbpx

Habis ribuan ringgit demi sekeping tiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KETIKA negeri-negeri lain termasuk Sarawak bersepakat membuka sempadan masing-masing bermula 11 Oktober lalu, Sabah pula memilih untuk berkecuali.

Mungkin atas tujuan keselamatan dan kesihatan, negeri di bawah bayu itu hanya membenarkan aktiviti rentas negeri bermula semalam, itupun perlu melalui dua syarat penting.

Pertamanya, mereka sama ada rakyat Sabah sendiri atau pelancong dari negeri lain, mereka perlu melengkapkan vaksin Covid-19 sebelum memasuki negeri itu.

Keduanya pula, pengunjung perlu mencatat keputusan negatif bagi ujian saringan Rapid Test Kit (RTK). Jika kedua-dua syarat ini gagal dipatuhi, maka bersiap sedialah untuk menerima ‘habuan’ yang pastinya mengecewakan.

Semua sedia maklum, kos yang perlu dihabiskan sama ada untuk pulang ke kampung ataupun bercuti sambil melancong ke Sabah bukannya kecil.

Antara perkara yang perlu difikirkan dan dimasukkan ke dalam bajet pulang kampung adalah tiket penerbangan. Bagi yang bergerak solo atau dikategorikan sebagai bujang, isu tersebut mungkin tidak terlalu membebankan.

Purata kos penerbangan yang perlu dibelanjakan hanyalah sekitar RM400 hingga RM500 bagi perjalanan pergi dan balik. Itupun jika syarikat penerbangan berkaitan menawarkan harga murah bagi sekeping tiket.

Namun, dilema pastinya dihadapi bagi mereka yang telah beranak pinak. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang mempunyai dua orang anak, mereka sekurang-kurangnya perlu membelanjakan kos penerbangan sekitar RM2,500 hingga RM3,000.

Ini tidak termasuk kos-kos sampingan termasuk makan minum, sewa pengangkutan dan sebagainya.

Secara logiknya, kos tiket penerbangan yang perlu ditanggung oleh empat ahli keluarga itu adalah hampir bersamaan dengan gaji sebulan bagi seorang pekerja kilang.

Hakikatnya, tidak semua perantau anak Sabah yang berada di tanah Semenanjung ketika ini mempunyai pekerjaan yang hebat dan bergaji lebat.

Bagaimanapun, semangat dan kerinduan mereka untuk pulang ke kampung adalah sama seperti perantau-perantau lain. Keinginan pulang bertemu ibu bapa, atau setidak-tidaknya menziarahi pusara orang tua tetap ada sekali pun mereka perlu mengeluarkan belanja yang besar.

Di pihak kerajaan, bantuan demi bantuan berbentuk tunai yang diberikan selama ini mungkin sedikit membantu dalam meringankan beban anak-anak Sabah di Semenanjung.

Sekurang-kurangnya, mereka mempunyai sedikit wang simpanan sama ada untuk digunakan membeli ‘ole-ole’ ataupun dibawa balik demi meraikan kepulangan selepas bertahun-tahun merantau.

Bagaimanapun, alangkah indahnya sekiranya Kerajaan Persekutuan ataupun kerajaan negeri menyediakan sedikit bajet pada masa-masa akan datang, sama ada berbentuk potongan harga ataupun tunai untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung kumpulan pengembara dari Borneo.

Setidak-tidaknya, dapatlah memberi sedikit kegembiraan kepada mereka selepas berhabis ribuan ringgit demi sekeping tiket.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI