KLUANG – Helah satu sindiket menggunakan pelekat kastam palsu untuk menjual arak serta rokok seludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa terbongkar apabila tiga lelaki diberkas dalam serbuan di Taman Delima dan Taman Saujana di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, tiga lelaki warga tempatan yang berusia 20, 28 dan 33 tahun diberkas itu dalam operasi bermula pukul 9.30 pagi.
“Dalam operasi pertama, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion 5 PGA telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas dua orang lelaki tempatan berumur 28 tahun dan 33 tahun di sebuah premis di Jalan 1, Taman Delima, di sini.
“Antara barang yang berjaya dirampas adalah 54 karton rokok dan 1,745 botol arak pelbagai jenama. Semua barang tersebut tidak memiliki cukai kastam serta menggunakan pelekat kastam yang disyaki palsu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dimin berkata, hasil soal siasat dan dipandu arah suspek yang ditahan, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap sebuah lagi premis di Jalan Saujana Perdana 1, Taman Saujana, dan menahan seorang lelaki berusia 20 tahun.
Jelasnya, dalam siri serbuan kedua itu, sebanyak 168 tin dan 175 botol arak pelbagai jenama yang tidak memiliki cukai kastam dirampas.
Hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek mengaku membekalkan rokok serta arak tidak bercukai kepada kedai-kedai runcit di sekitar daerah Kluang.
Beliau berkata, tangkapan serta rampasan bernilai RM127,318.55 dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan Ianjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 135 (I) Akta Kastam 1967.-K! ONLINE