KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua keping gambar individu yang cedera didakwa menjadi mangsa samun sepertimana tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp adalah palsu.
Superintendan Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara PDRM, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, pihak polis mengesan satu sebaran maklumat menerusi kedua-dua platform itu mendakwa terdapat individu yang mengetuk cermin pintu kereta sambil menghulurkan sekeping kad untuk bertanyakan arah.
“Pada masa yang sama, terdapat mata pisau (blade) di belakang kad tersebut digunakan untuk mencederakan mangsa sebelum melakukan samun.
“Turut ditularkan dua keping gambar individu cedera yang didakwa mangsa dalam kejadian samun berkenaan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil semakan mendapati sebaran maklumat tersebut telah mula tular pada tahun 2014 dan ditularkan semula akhir-akhir ini oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.
Jelas beliau, setakat ini tiada sebarang laporan polis berkaitan kejadian samun yang menggunakan modus operandi sedemikian.
“Kita dapati wanita (dalam gambar) yang cedera adalah mangsa samun kejadian yang berlainan, manakala lelaki yang cedera pada bahagian muka adalah mangsa pergaduhan di sebuah pusat hiburan di luar negara,” ujarnya.
Justeru itu, Skandaguru menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita-berita yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.
” Tindakan berkongsi atau menyebarkan berita-berita sedemikian akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” ujarnya. – K! ONLINE