AUSTIN, TEXAS – Satu kajian menunjukkan bencana alam yang berlaku boleh merapatkan hubungan pasangan termasuk suami isteri sekurang-kurangnya untuk jangka masa pendek, lapor portal berita MailOnline semalam.
Penyelidik dari Universiti Texas menemu bual 231 pasangan yang baru berkahwin sebelum dan selepas Taufan Harvey membadai negeri Texas pada Ogos 2017.
Profesor Pembangunan Manusia dari Universiti Texas selaku pengarang utama penyelidikan, Hannah Williamson berkata, pihaknya melihat terdapat lonjakan kepuasan dalam hubungan pasangan suami isteri yang rata-rata paling tidak bahagia sebelum taufan melanda.
Ini terbukti walaupun hakikatnya taufan tersebut membawa kesan negatif termasuk kerosakan rumah, kerugian kewangan dan banyak lagi.
Peningkatan kepuasan yang berlaku bagaimanapun dilihat tidak kekal dan kembali kepada tahap asal sebelum bencana taufan dalam masa satu tahun.
Kajian dilakukan sebelum ini menerusi kesan bencana terhadap perhubungan mempunyai kekurangan apabila tidak mempunyai data sebelum dan selepas, malah kajian dilakukan Williamson belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Orang ramai akan menyedari kepentingan pasangan masing-masing apabila mereka tersentak akibat tekanan mendadak tersebut (bencana alam),” katanya.
Taufan Harvey yang melanda Amerika Syarikat sebelum ini menyebabkan 80 kematian selain 800,000 mangsa kehilangan tempat tinggal atau memerlukan bantuan dengan anggaran kerosakan bernilai AS$133 bilion (RM551.8 bilion) di Houston dan kawasan sekitarnya. – Agensi