fbpx

AirAsia tambah penerbangan ke Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – AirAsia bakal menambah kekerapan penerbangan ke Sabah bulan ini, susulan keputusan kerajaan negeri melonggarkan syarat kemasukan rakyat Malaysia ke sana seiring pembukaan semula sektor pelancongan domestik.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah bulan lalu mengumumkan pelawat dari luar negeri itu tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan kemasukan daripada kerajaan negeri dan pihak polis bermula 1 November.

AirAsia dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini berkata, bermula semalam hingga 7 November ini, para tetamu boleh menempah penerbangan dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pada kadar serendah RM99 sehala.

“Penerbangan antara Sabah dan Sarawak pula hanya serendah RM13 sehala.

“Penerbangan ini sedia di­tempah di Airasia Super App untuk tempoh perjalanan bermula 8 November 2021 sehingga 29 Oktober 2021, manakala tetamu yang mempunyai Akaun Kredit turut boleh menggunakannya untuk menebus penerbangan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang telah kembali membuka perjalanan ke negeri tersebut.

“AirAsia akan mengendalikan hampir 300 penerbangan seminggu mulai 1 November, menghubungkan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah dengan Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, iaitu peningkatan sebanyak 75 peratus daripada lebih 170 penerbangan mingguan sebelum ini.

“AirAsia adalah pemain jangka panjang dalam industri pelancongan Sabah dan kami berharap dapat terus bekerjasama de­ngan kerajaan negeri, Lembaga Pelancongan Sabah dan agensi berkaitan untuk memastikan standard pematuhan tertinggi bagi setiap penerbangan dikendalikan,” katanya.

Pelancongan adalah penyumbang ekonomi ketiga terbesar di Sabah selepas sektor pertanian dan pembuatan, dengan menyediakan lebih daripada 80,000 pekerjaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI