KANGAR – Seramai 103 mangsa banjir daripada 27 keluarga di negeri ini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sejak malam semalam sehingga petang ini.
Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, sebanyak tiga PPS dibuka pada malam semalam, namun PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kok Klang yang menempatkan dua keluarga ditutup pada pukul 2.30 petang tadi.
Katanya, dua lagi PPS yang masih beroperasi ialah Masjid Kampung Bonggol Sena yang menempatkan 77 mangsa dan Sekolah Kebangsaan Arau dengan 26 mangsa.
“Buat masa ini paras air sungai masih tinggi, namun air mula mengalir ke laut dan kita akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa.
“Mangsa tidak dibenarkan pulang selagi air di rumah mereka masih tinggi,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, tiada hujan direkodkan di Stesen Meteorologi pada hari ini. – K! ONLINE