KOTA BHARU – Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kekasihnya pada Mei lalu.
Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed, 62, yang hadir ke mahkamah dengan menaiki kerusi roda bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut kelima-lima pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang berusia 15 tahun 10 bulan ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan semak dan sebuah rumah di Jelawat, Bachok kira-kira pukul 12 tengah hari dan 2 pagi antara 2 Mei hingga minggu keempat bulan Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh tergamak melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa yahg dikenalinya.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, tertuduh tidak mengalami sebarang kesakitan atau kecederaan didapati sengaja memohon untuk hadir ke mahkamah dengan menaiki kerusi roda bagi meraih simpati pihak mahkamah. -K! ONLINE