PETALING JAYA – Meskipun jangkitan Covid-19 di negara dilihat semakin menurun, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) serta amalan mencegah penularan pandemik Covid-19 bagi mengelak jangkitan varian baharu.
Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, orang ramai diingatkan jangan alpa dan tidak mengunjungi tempat tempat sesak sesak bagi mengelakkan jangkitan.
“Vaksin sangat membantu menurunkan kes, namun vaksin yang dicipta ada yang tidak melindungi varian-varian tertentu.
“Kalau sudah mutasi dalam badan kita tetap kena jangkitan, jadi jangan alpa, SOP dan penjarakan sosial tetap kena jaga walaupun di mana kita berada,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau mengulas mengenai sikap orang ramai yang mudah alpa selepas peralihan fasa ketika kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan dan kebenaran rentas negeri.
Tambah Zulkornain, jika ramai yang lalai, varian baharu yang lebih bahaya akan menular semula dalam negara ini.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, walaupun kes menurun dan kadar vaksinasi sudah lebih 90 peratus, masih ada negeri rendah kadar vaksinasi bagi dewasa.
Justeru itu, katanya, capaian vaksinasi kepada negeri-negeri tersebut harus dipertingkatkan.
“Masih ada negeri yang agak rendah tahap vaksinasinya, sebagai contoh di Kelantan dan Sabah di mana kadar vaksinasi dewasa masih tidak berapa tinggi, jadi ini amat merunsingkan.
“Kadar vaksinasi rendah ini boleh terjadi berpunca daripada dua sebab iaitu keengganan menerima vaksin dan kesukaran untuk pergi ke tempat menerima vaksin. Jadi, amat digalakkan agar kerajaan lantik petugas khas untuk ke kawasan sasar bagi memberi vaksin terus kepada penduduknya,” katanya.