fbpx

Tiga buruh warga Myanmar didakwa culik rakan, minta tebusan RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Munisipal di Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Tiga buruh kontrak warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Munisipal Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan menculik rakan senegara mereka untuk mendapatkan wang tebusan RM3,000 pada bulan lalu.

Tertuduh, Abdul Rahim Ali Husson, 38, Taher Ahmad Mustafa Ahmad, 45, dan Mostaque Ahmed Rofiq Ahmed, 36, masing-masing hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang yang masih bebas didakwa menculik seorang lelaki warga Myanmar, Saddik Mohammad Jalil, 26, dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM3,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 175, Kampung Masjid Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 8.10 malam pada 21 hingga pukul 8.25 malam pada 24 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan 3 Disember depan ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan polis menahan sembilan suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang lelaki warga Myanmar di hadapan sebuah kilang di Batu Kawan di sini.

Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada wanita warga tempatan memaklumkan pekerjanya berusia 26 tahun dilarikan dua lelaki dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI