PETALING JAYA – Pengeluar produk tembaga bersepadu, Ta Win Holdings Berhad (Ta Win) terus meningkatkan kehadirannya dalam segmen kenderaan elektrik (EV) apabila anak syarikat milik penuhnya, Ta Win Industries (M) Sdn. Bhd. (TWI) memeterai kontrak penjualan dengan POSCO International Corporation (POSCO), yang berpangkalan di Korea Selatan.
Kontrak tersebut bagi pembekalan eksklusif untuk rod dan wayar kuprum serta produk berkaitan tembaga lain melalui POSCO kepada pengeluar kerajang tembaga lain yang berpangkalan di Korea Selatan, termasuk untuk kilang pengeluaran mereka di luar negara.
Ia berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun, dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2024.
Ta Win dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini berkata, TWI turut memeterai memorandum persefahaman dengan POSCO berhubung kuantiti yang akan dihantar, dengan TWI akan membekalkan kira-kira 65,000 tan metrik produk tembaga semasa tempoh kontrak, bermula dengan 10,000 metrik tan pada tahun pertama.
“Untuk tempoh tiga tahun, TWI menjangka bakal menjana hasil agregat sebanyak RM2.6 bilion berdasarkan harga tembaga LME pada kadar dolar Amerika (AS$) 9,440 (RM39,190) setiap tan metrik dan kadar pertukaran mata wang asing AS$1:RM4.15 pada 28 Oktober 2021,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Ta Win, Datuk Seri Ngu Tieng Ung berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengembangkan lagi kehadiran dalam pasaran EV dengan kontrak pembekalan eksklusif bersama POSCO.
“Dengan memanfaatkan rangkaian POSCO yang luas dalam sektor komponen dan bahan bateri EV, Kumpulan berada pada posisi baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di peringkat global sebagai pembekal rod dan wayar tembaga berkualiti tinggi, yang merupakan bahan mentah untuk kerajang tembaga yang digunakan secara meluas bagi menghasilkan bateri EV,” katanya. – K! ONLINE