PUTRAJAYA – Selepas hampir tujuh bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti PKP Bersyarat, sesi persekolahan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka akhir bermula hari ini.
Sesi persekolahan secara penggiliran yang dibuka hari ini membabitkan kemasukan bagi murid Tahap Satu (tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid tingkatan 3 dan 4 sekolah menengah.
Perasaan gembira bercampur khuatir pasti dirasai ibu bapa tetapi dengan kes Covid-19 yang menghampiri fasa endemik dan semakin terkawal, pembukaan semula sekolah diyakini berjalan lancar berpandukan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Tinjauan Kosmo! di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) di sini mendapati proses pergerakan masuk murid-murid tahun 1 hingga 3 berjalan lancar dengan pemantauan guru-guru sekolah seawal pukul 6.45 pagi.
Selain itu, kehadiran polis trafik yang mengawal lalu lintas nyata memudahkan pergerakan kenderaan ibu bapa yang menghantar anak mereka masing-masing.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Putrajaya Presint 14 (1), Zuliana Zam Zam berkata, hari pertama persekolahan hari ini berjalan lancar dengan peranan guru-guru serta ibu bapa sertai anggota polis yang bertugas.
Menurutnya, untuk hari ini dan seterusnya, guru-guru telah diberikan tugas untuk membantu kehadiran murid-murid ke sekolah begitu juga selepas tamat waktu sekolah.
“Kalau kita lihat perjalanan trafik sangat lancar, murid-murid sangat mematuhi SOP hadir ke sekolah seolah-olah mereka semua sudah memahami peraturan yang ditetapkan.
“Kami juga menempatkan 10 guru bertugas pada waktu pagi dan 10 ketika waktu pulang untuk memudahkan murid-murid semua,” katanya yang turut sama berada di hadapan sekolah menyantuni murid-murid serta ibu bapa hari ini. – K! ONLINE