fbpx

Saya alami tekanan perasaan teruk, banyak menangis – Ummi Nazeera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ummi mendedahkan pernah mengalami tekanan perasaan yang teruk kerana berat badannya naik dengan mendadak.

PETALING JAYA – Pelakon Ummi Nazeera mendedahkan bahawa dia pernah mengalami tekanan perasaan yang teruk apabila berat badannya naik dengan mendadak sewaktu hamil anak kedua.

Bercakap kepada Kosmo! Online, Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 31, berkata, perubahan bentuk badannya secara mendadak itu menyebabkan dia berasa sangat tertekan sehingga mengalami kemurungan.

“Saya nak berkongsi pengalaman ketika hamil anak kedua. Saya mengalami tekanan perasaan yang teruk kerana berat badan naik dengan mendadak.

“Sebelum mengandung berat badan saya sekitar 54 kilogram (kg) sahaja. Tetapi ketika hamil, berat badan naik sehingga 78kg. Keadaan itu menyebabkan saya menjadi murung dan sedih,” katanya.

Ujar pelakon filem Bisik Pada Langit itu lagi, disebabkan keadaan itu, dia banyak menangis seorang diri kerana berasa sangat sedih.

“Saya banyak menangis seorang diri dan tertanya-tanya punca badan saya mengalami perubahan begitu mendadak.

“Sehingga doktor tegur kerana berat badan saya naik secara berlebihan,” katanya.

Dedah Ummi lagi, punca lain yang menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan mungkin disebabkan dia mengalami pendarahan serius ketika di awal kehamilan.

“Pada awal kehamilan iaitu sekitar Januari lalu, saya alami pendarahan. Bila terjadi pendarahan, saya tidak boleh banyak bergerak. Saya perlu berbaring di atas katil (bed rest) selama beberapa bulan sehingga kandungannya betul-betul kuat.

“Suami pula ketika itu terlalu sibuk kerana bertugas sebagai petugas barisan hadapan (doktor). Keluar awal, balik lewat, jadi saya tidak ada sokongan moral ketika itu menjadikan saya berasa lebih tertekan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ummi berkata dia tidak pernah terfikir untuk menyalahkan suaminya kerana faham tugas lelaki itu sebagai seorang doktor lebih-lebih lagi dalam situasi menangani penularan wabak Covid-19.

“Saya tidak salahkan dia (suami) sebab faham tugasnya. Cuma saya ‘berperang’ dengan perasaan sendiri. Nak bercakap dengan siapa? Nak bercakap dengan anak sulung (Ayra Aneesah yang berusia sekitar dua tahun), dia masih kecil,” katanya.

Bagi mengelak keadaannya menjadi bertambah buruk, Ummi meminta izin suaminya untuk berpindah buat sementara waktu dengan tinggal di rumah ibunya di Ampang, Selangor.

“Saya minta izin untuk tinggal di rumah ibu buat sementara waktu. Suami faham dan dia ikut sekali duduk bersama ibu sehingga saya bersalin dan habis berpantang,” katanya.

Sekadar info, Ummi mendirikan rumah tangga dengan seorang doktor, Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani pada 23 Julai 2017 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Ayra Aneesah, 3, dan Aysha Arsylia, lima bulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI