MISANO – Juara sembilan kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Valentino Rossi percaya peraturan sistem elektronik tunggal yang diperkenalkan pada 2016 menjadi punca prestasi hambar pasukan Yamaha.
Kejayaan pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo muncul juara dunia pada musim ini adalah kali pertama dalam tempoh enam tahun selepas dimenangi oleh Jorge Lorenzo pada 2015.
Musim 2015 merupakan tahun terakhir di mana MotoGP membenarkan penggunaan sistem elektronik secara bebas yang menyaksikan Yamaha menyapu kedudukan 1-2 dalam senarai kejuaraan dunia menerusi Lorenzo dan Rossi.
“Jentera kami adalah yang terbaik sekiranya dapat menggunakan sistem elektronik Yamaha. Jentera M1 adalah projek Jepun dengan semua jurutera dibawa dari sana, jadi sukar untuk mereka faham sistem elektronik baharu ini.
“Kami berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan sistem elektronik Magneti-Marelli. Tidak dinafikan, prestasi jentera menurun dengan teruk selepas perubahan peraturan elektronik,” kata Rossi.
Pada masa sama, pelumba berusia 42 tahun itu percaya jentera M1 terus menunjukkan kelemahan ketika beraksi dalam keadaan litar basah dan ia dibuktikan ketika sesi kelayakan pada Grand Prix (GP) Emilia Romagna minggu lalu.
“Kebanyakan pasukan lain mula mengambil jurutera dari Itali tetapi Yamaha masih kekal dengan orang yang sama. Oleh itu, kami memiliki data yang kurang berhubung prestasi jentera dalam keadaan litar basah,” ujarnya. – AGENSI