Kelewatan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) mengecewakan rakyat yang mahukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memiliki keupayaan jitu.
Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada satu pun LCS disiapkan dan diserah kepada TLDM walaupun kontrak yang dimeterai pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS pertama sepatutnya diserahkan pada April 2019.
Pembinaan kapal-kapal kelas Maharajalela ini merupakan antara kapal baharu yang sepatutnya melengkapi armada TLDM menerusi Pelan Transformasi 15 Kepada 5.
LCS kelas Maharajalela sepanjang 111 meter dengan kelajuan sehingga 28 knot mampu belayar sejauh 5,000 batu nautika bersama 138 pegawai dan anak kapal.
Sebagai perbandingan, Singapura yang merancang pembinaan lapan kapal misi pesisir kelas Independence pada tahun 2013 menerusi firma tempatan, ST Engineering berjaya menyiapkan kesemuanya mengikut jadual.
Kapal-kapal ini bagi menggantikan 12 buah kapal peronda kelas Fearless yang juga dibina oleh firma pertahanan republik itu pada tahun 1995.
Penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, program LCS sepatutnya menjadi kesinambungan daripada program kapal peronda generasi baharu (NGPV) apabila firma tempatan diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan misi nasional tersebut.
Katanya, walaupun pembinaan NGPV pernah terpalit isu hampir sama apabila berdepan skandal sebelum terpaksa diselamatkan kerajaan, namun rakyat telah meletakkan sepenuh kepercayaan pada kemampuan firma tempatan.
“Justeru, apabila firma tempatan yang diberi tanggungjawab serupa gagal melaksanakan kontrak maka timbul pelbagai persoalan pada umum yang sehingga kini tidak dijelaskan oleh pihak kerajaan apa punca sebenar kelewatan.
“Negara membayar kos yang besar, sepatutnya kapal-kapal LCS ini sudah belayar membelah samudera,” ujarnya.
Kata Muhammad Fuad, isu LCS TLDM bukan sahaja merencatkan program pemodenan angkatan laut itu, malah kewibawaan industri maritim tempatan termasuklah pada pandangan pemerhati industri antarabangsa.
Pengoperasian kapal perang baharu dan moden seperti LCS bukan sahaja dilihat sebagai satu kelengkapan tetapi penting kerana ia juga menggandakan kemahiran sedia ada warga kapal.
Ini kerana, kapal-kapal berkenaan merupakan kesinambungan pada keupayaan aset yang terpenting pada angkatan laut tersebut iaitu sumber tenaga manusia.
Penulis majalah pertahanan Perajurit, Hamzah Dollah memberitahu, teknologi pertahanan dalam peperangan maritim sentiasa berubah dan ia perlu dikuasai mengikut keperluan semasa.
Veteran TLDM yang juga bekas kru kapal perang KD Hang Tuah pada awal 1980an dan KD Kasturi itu berpandangan, kelewatan tersebut memberi kesan terhadap atur gerak flotilla serang TLDM yang perlu kuasa tempur bermobiliti tinggi.
“Saya bertugas di kapal KD Kasturi pada tahun 1987 sebagai operator Combat information Centre (CIC) dan 1997 sebagai Ops Room Supervisor (ORS).
“Ia yang merupakan kapal korvet tercanggih dalam inventori TLDM pada masa itu.
“Kecanggihan sistem integrasinya yang mendahului era teknologi komunikasi dan maklumat amat mencabar keupayaan saya dan kru-kru lain selaku operator baharu untuk menghadapi suasana terutama ketika latihan perang,” katanya.