PUTRAJAYA – Hukum ‘prank’ atau gurauan dalam Islam dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau.
Itu penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berhubung hukum prank yang kini dikesan berleluasa di media sosial khususnya yang dimuat naik oleh pempengaruh atay influencer tempatan.
Bagaimanapun, PMWP turut mengingatkan kepada semua bahawa jika prank itu dilihat melampau maka ia adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya.
“Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ia adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya.
“Tambahan lagi, video prank yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekali gus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa.
“Oleh itu, dinasihatkan agar mengelakkan dari menghasilkan video-video atau kandungan prank sedemikian yang boleh menjatuhkan maruah orang lain dan menyebarkan aibnya kepada masyarakat umum,” katanya. -K! ONLINE