LONDON – Tottenham Hotspur membuat keputusan memecat pengurusnya, Nuno Espirito Santo selepas hanya empat bulan menjawat jawatan tersebut.
Spurs sudah tewas lima kali dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk kekalahan 0-3 kepada Manchester United awal pagi Ahad lalu.
Kelab utara London itu kini berada di kedudukan kelapan dalam carta EPL dan 10 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.
“Saya tahu betapa gigih Espirito dan barisan kejurulatihannya mahu menjelmakan kejayaan buat Spurs dan saya kesal kerana terpaksa membuat keputusan ini,” kata Pengarah Urusan Bola Sepak Tottenham, Fabio Paratici.
Jurulatih kelahiran Portugal berusia 47 tahun itu dilantik sebagai Pengurus Spurs dengan dua tahun kontrak pada Jun lalu selepas empat tahun mengendalikan Wolves.
“Espirito sememangnya seorang yang budiman dan akan selalalu dialu-alukan hadir ke Tottenham. Kami amat berterima kasih kepadanya dan barisan kejurulatihannya serta mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka pada masa deoan,” tambah Paratici. – K! ONLINE