fbpx

Orang Melaka risau ‘gagau’, bukan PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Kalau tanya orang Melaka apa isu panas sekarang ini, pasti mereka akan kata geragau sudah tiada hendak bikin cencaluk dan belacan.

Orang kampung tak boleh lagi hendak menyungkur sebab Pantai Kundor dan Pantai Puteri di Tanjung Kling sudah terhakis kerana aktiviti penambakan laut.

Mengapa tempat ini dijadikan contoh? Kerana ia merupakan kawasan bermulanya musibah pencabulan keamanan yang dikecapi orang-orang Melaka selama ini. Ia berkait dengan Sungai Udang.

Orang Melaka tidak peduli siapa yang jadi kerajaan kerana bagi mereka pergelutan hidup selepas dilanda pandemik Covid-19 menjadi lebih penting untuk difikirkan daripada mengisi tembolok ahli politik.

Pihak yang beriya-iya mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) sahaja kelihatan cemas dan membawa propaganda masing-masing supaya dapat memenangi undi demi mengekalkan kuasa melalui janji-janji yang belum tentu dapat ditunaikan sebaiknya.

Pemberian bakul-bakul makanan kepada orang-orang tua dan ibu tunggal diperhebatkan. Setiap kali dihantar, ayat yang tidak lekang ialah “jangan lupa mengundi sekian, sokong sekian”.

Nampaknya keikhlasan bukan lagi keutamaan. Ada udang di sebalik batu.

Perkara ini berlaku di mana-mana. Kalau di negeri lain yang ada PRN pun akan berlaku juga politik wang ini. Ia amalan sejak sekian lama.

Arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung prosedur operasi standard PRN cepat sahaja ditentang. KKM bukan bercakap kosong tetapi mereka gusar sekiranya apa yang berlaku di Sabah akan berulang kembali di Melaka.

Alasan vaksin sudah mampu menghalang Covid-19 dijaja untuk menghalalkan kempen PRN.

Orang sudah muak untuk menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan. Cukuplah derita dua tahun rakyat terpaksa mengikat perut dan mengorek segala macam wang simpanan untuk bertahan sepanjang pandemik.

Itu belum lagi dikira mereka yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa menukar haluan kerjaya. Berapa lama pula penjaja di sepanjang Pantai Puteri itu terpaksa menelangkupkan periuk dan kuali kerana ketiadaan pengunjung.

Kerja orang politik sekarang ialah segera buktikan yang kamu benar-benar layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri pada 20 November ini. Adakah kamu sedar yang orang mengata dan langsung tidak percaya kononnya PRN dibuat atas kepentingan rakyat?

Kerajaan itu memang kerjanya memastikan rakyat mendapat kemudahan sewajarnya kerana itu memang tugas yang harus dijalankan sebagai pemimpin.

Bagi pekerja swasta contohnya, perkara yang paling cemas ialah perlu memberi sebab dalam borang penilaian mengapa dia perlu dikekalkan dan apa yang membuatkan dia layak diberikan gaji dipohon.

Sama juga dengan ahli politik. Mereka juga perlu ada borang seperti ini dan bukannya sekadar bercakap dan meninjau kawasan hakisan sedangkan tindakan terlalu lambat. Isu sejuk, tindakan pun ke laut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI