LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji sikap dan kerja keras dua penyerang veterannya, Cristiano Ronaldo dan Edinson Cavani yang berjaya mencetak nama sebagai penjaring ketika menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur itu, United turun dengan misi wajib menang selepas mereka diaibkan 0-5 oleh Liverpool pada aksi minggu lalu di Old Trafford.
Menurut pengurus dari Norway itu, kesemua pemainnya berjaya mempamerkan persembahan yang cukup berdisiplin dan kekal dengan perancangan yang diatur sejak wisel permulaan sehingga tamat perlawanan.
“Semua mereka telah memberikan aksi terbaik dan kerja yang cukup keras. Apa yang kami pamerkan pada aksi tersebut adalah bola sepak sebenar dan sepatutnya itu adalah cara kami bermain sejak dahulu.
“Selepas aksi minggu lalu, kami duduk dan berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan untuk menghadapi Spurs. Beraksi di tempat lawan menyebabkan kami perlu menukar sedikit strategi, kami bekerja keras untuk mengubah situasi selepas aksi menentang Liverpool.
“Kami sedar bahawa apabila kami berjaya mengekang gawang daripada dibolosi, kami mempunyai peluang untuk menang, ia mengenai bagaimana kami mengawal perlawanan.
“Saya berada di sini sejak tiga tahun lalu, pada sesi latihan pada Selasa lalu, saya tidak pernah lihat Edinson memberikan persembahan yang cukup jitu. Dia dan Ronaldo mengetuai jentera serangan, bermain dengan baik dan hasilnya adalah seperti yang kami harapkan.
“Aksi yang dipamerkan oleh pemain-pemain lain ketika menentang Spurs bukanlah untuk saya (masa depan di United), tetapi ia adalah untuk kelab ini,” jelasnya. – AGENSI