PETALING JAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerima peruntukan sebanyak RM14.5 bilion, meliputi perbelanjaan mengurus berjumlah RM11.5 bilion dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM3 bilion melalui pembentangan Bajet 2022.
Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kementerian menyambut baik dan amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara terutama dalam menyalurkan dana bagi mempergiat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Sesungguhnya, peruntukan ini dapat membantu KPT dan agensi di bawahnya melaksanakan pelbagai program pembangunan pendidikan tinggi dan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“KPT komited untuk membantu kerajaan dalam agenda pemulihan, pembinaan semula daya ketahanan negara menerusi agenda pendidikan tinggi.
“Peruntukan yang diluluskan bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada pemegang taruh KPT, malah akan turut dinikmati oleh komuniti dan masyarakat selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, terdapat 15 inisiatif bajet yang telah dibentangkan dalam usaha membantu graduan dan KPT antaranya, PerantiSiswa Keluarga Malaysia iaitu membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.
Jelas Noraini, inisiatif tersebut akan memanfaatkan seramai 600,000 mahasiswa daripada keluarga B40 melalui peruntukan sebanyak RM450 juta.
Di samping itu, tambah Noraini, inisiatif diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diumumkan bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 juga akan memberikan manfaat kepada 1.67 juta peminjamnya.
“Diskaun tersebut meliputi diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran serta 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual,” jelasnya.
Kerajaan turut mengumumkan inisiatif pelanjutan pemotongan cukai dua kali kepada syarikat yang menawarkan biasiswa kepada pelajar institusi pendidikan tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian.
Sementara itu, melalui Bajet 2022 juga, kerajaan turut memperkenalkan Program e-Start, iaitu pemberian kredit RM150 secara one-off ke dalam akaun e-dompet belia berumur 18 hingga 20 tahun termasuk pelajar sepenuh masa di IPT.
“Program ini melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta dan dijangka memberikan manfaat kepada lebih dua juta belia bagi tujuan pembelian berguna seperti buku dan kelengkapan pembelajaran,” katanya.
Dalam pada itu, sejumlah RM6.6 bilion disediakan untuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma selain melahirkan profesional dalam kalangan bumiputera dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan di bawah MARA, Universiti Teknologi Mara dan Yayasan Peneraju.
“Melalui Bajet 2022, kerajaan juga memperkenalkan inisiatif galakan kepada pihak swasta untuk melaksanakan inisiatif pembayaran elaun sebanyak RM900 kepada pelajar yang menjalani program latihan industri.
“Pelanjutan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025 dan turut diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2.
“Menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan,” katanya.
Kerajaan juga turut mengumumkan peruntukan RM423 juta di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KPT bagi mempergiat aktiviti R&D selari dengan perkembangan sains dan teknologi termasuk RM295 juta kepada universiti awam untuk berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri.
Antara inisiatif lain yang turut diumumkan oleh kerajaan melalui Bajet 2022 termasuk, memperluas perkhidmatan Klinik Bergerak kepada Hospital Pengajar Universiti sebagai usaha menambah akses saringan dan pendidikan kesihatan di kawasan-kawasan tumpuan.
Pemerkasaan bidang TVET dengan peruntukan sebanyak RM6.6 bilion yang turut memanfaatkan pelbagai kementerian dan agensi.
Di samping itu, tambahan RM200 juta turut diperuntukkan bagi program usaha sama dengan industri.
Melalui Bajet 2022, peruntukan RM67 juta untuk menaik taraf talian akses Malaysia Research and Education Network (MyREN) di IPT kepada 500Mbps hingga 10Gbps.