SEBAIK melangkah masuk ke universiti, gadis berusia 20 tahun itu memasang impian untuk mengaktifkan diri dalam pelbagai bidang terutamanya yang belum pernah diceburinya.
Ia bagi membolehkan Misya Lim Adam Lim itu menimba sebanyak mungkin pengalaman sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Kini, pelajar semester kedua di Universiti Malaya (UM) tersebut sedang merealisasikan impiannya itu dengan menyertai beberapa aktiviti di peringkat kolej penginapan.
Salah satu penglibatannya adalah menjadi Pemudahcara Mahasiswa atau fasilitator kepada pelajar baharu yang mendaftarkan diri di UM pada bulan lalu.
“Saya sangat teruja apabila terpilih menjadi salah seorang pemudahcara pada semester ini. Ia satu pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.
“Meskipun minggu orientasi pada kali ini berlangsung secara online, tetapi keseronokan masih tetap dapat dirasai,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Sebelum dilantik, gadis kelahiran Pulau Pinang itu perlu menjalani Perkampungan Calon Pemudahcara Mahasiswa (PCPM) yang diadakan selama dua minggu.
Menariknya, sewaktu PCPM, Misya Lim telah dilantik sebagai Pengarah Projek Mini The Gemilang Awards yang menuntutnya menjadi seorang ketua kepada 70 pelajar lain.
“Ini kali pertama saya dilantik sebagai pengarah projek. Ia satu pengalaman menarik kerana saya dapat belajar banyak perkara, terutamanya berkaitan kemahiran hidup.
“Antara yang dipelajari termasuklah ilmu kepimpinan, cara menguruskan peserta dan membahagikan tugas. Semua ini tidak dapat diperoleh dalam kelas,” jelasnya lagi.
Pada masa sama, anak sulung daripada dua beradik itu juga melibatkan diri dalam Pasukan Deklamasi Pantun Kolej Kediaman (Padsyah) di UM.
Uniknya, tugas Misya Lim bukanlah menghasil atau menyampaikan pantun, sebaliknya terarah kepada kerja di belakang tabir.
“Saya tidak pandai sangat pasal pantun dan puisi ini. Tetapi saya boleh bantu pasukan daripada aspek lain seperti menyediakan pakaian dan solekan.
“Saya sangat berminat dengan solekan dan menghasilkan kostum jika berkelapangan.
“Saya pernah menang pertandingan mereka cipta pakaian untuk kolej penginapan sebelum ini,” jelasnya.
Misya Lim yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi itu mempunyai hobi unik iaitu membuat kajian dan carian mengenai perkara-perkara berkaitan sains.
Jelasnya, dia banyak menghabiskan masa membaca tentang kajian dan analisis yang dibuat oleh pakar-pakar sains di luar negara sebagai ilmu tambahan.
“Saya memang sangat obses dengan sains sejak di bangku sekolah lagi. Disebabkan itu juga, saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini.
“Pada masa ini, saya giat membaca kajian dan mencari kebaikan virus Covid-19 kepada manusia ketika ramai yang melihatnya dalam bentuk negatif.
“Saya ada terbaca virus berkenaan boleh membantu menyelesaikan beberapa masalah kesihatan manusia.
“Saya percaya, setiap yang diciptakan itu pasti ada baik dan buruknya,” jelasnya.
Meskipun sibuk dengan aktiviti di kampus, namun Misya Lim sangat komited dalam pengajiannya sehingga berjaya meraih keputusan yang cemerlang.
Jelasnya, pada semester pertama, keputusannya sangat baik meskipun terpaksa menjalani pengajian dan peperiksaan secara online ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.
“Sehingga kini, saya masih belum masuk ke kelas dan bersemuka dengan rakan-rakan. Malah, makmal di UM pun belum dibuka disebabkan pandemik Covid-19.
“Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk saya lalai dalam pelajaran. Saya sangat berharap dalam kembali belajar secara normal,” tegasnya.
Menariknya, Misya Lim juga berjaya mendapat biasiswa tajaan kerajaan menerusi MyBrain sepanjang pengajiannya di UM.
Dia memaklumkan, pemberian biasiswa berkenaan membuatkannya lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh, sekali gus meraih keputusan cemerlang seperti yang diharapkan.
“Selepas tamat belajar, saya berhasrat menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi sehingga Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang mikrobiologi.
“Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang penyelidik yang dapat membantu menyelesaikan setiap permasalah dalam masyarakat,” terang gadis itu sebelum menutup bicara.