PETALING JAYA – Pelakon Yatt Hamzah yang kini berada di Kota Madinah berkongsi rasa gembira dan terharu apabila diberi peluang membersihkan Masjid Nabawi iaitu tempat kedua paling suci bagi umat Islam selepas Masjidil Haram.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik dalam Instagram, Yatt atau nama lengkapnya Haryati Hamzah, 40, menggunakan alat pembersih hampagas (vakum) untuk membersihkan karpet dalam masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Nabi itu.
“Semalam lepas Asar, Bonda (panggilannya) dapat peluang bersihkan Masjid Nabi SAW. Perasaannya luar biasa, masya-Allah walaupun hanya sekejap,” jelasnya.
Kata Yatt lagi, dia sudah lama berhajat untuk membantu pekerja-pekerja pembersihan di Masjid Nabawi, namun belum mempunyai rezeki untuk berbuat demikian.
Jelas pelakon Dunia Baru itu lagi, dia juga sangat mementingkan kebersihan dan tidak suka dengan suasana rumah yang kotor.
“Memang dah lama teringin nak membantu pekerja-pekerja kebersihan dalam Masjid Nabawi sebab Bonda memang sangat suka membersihkan rumah. Tak suka nampak kotor.
“Alhamdulillah direzekikan dapat merasa jadi ‘cleaner’ (pekerja pembersihan) di Masjid Nabawi. Alhamdulillah,” jelasnya.
Menerusi hantaran sama, ibu kepada lima orang cahaya mata itu juga menyimpan impian untuk membawa keluarganya menetap di Madinah dan bersekolah serta membesar di sana.
“Ya Allah, aku teringin sangat membawa keluargaku untuk menetap di Madinah. Aku sangat teringin anak-anakku bersekolah, membesar di Madinah dan aku amat teringin untuk mati di sini (Madinah).
“Jika pada perkiraan-Mu, andai salah satu cara untuk berada di sini adalah dengan menjadi seorang pekerja pembersihan, aku amat berbesar hati Ya Allah. Aku amat berbangga andai dapat berkhidmat di sini buat Rasulullah SAW. Kau makbulkanlah doa-doaku ini wahai Tuhan yang Maha memakbulkan doa,” katanya.
Terdahulu, Yatt berlepas ke Madinah untuk mengerjakan ibadah umrah pada 29 Oktober lalu seorang diri tanpa ditemani ahli keluarganya termasuk suami.
Yatt berkata, dia tekad mengerjakan umrah walaupun seorang diri kerana menganggap perkara itu sebagai satu pengorbanan demi Rasulullah SAW. – K! ONLINE