LUMUT – 12 warga Indonesia termasuk lima wanita masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung selepas mengaku bersalah menceroboh perairan negara ketika ditangkap menaiki sebuah bot pada pertengahan bulan lalu.
Tujuh lagi penumpang bot tersebut pula masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan sama dan boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Majistret A Hafiizh Abu Bakar memerintahkan semua 12 individu itu dipenjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 16 Oktober lalu.
Beliau juga memerintahkan bot nelayan tradisional Indonesia yang dinaiki oleh semua tertuduh dirampas dan dilucutkan hak mengikut Seksyen 49A(3) Akta Imigresen 1959/63.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh berusia antara 24 hingga 61 tahun didakwa memasuki perairan negara melalui pintu keluar dan masuk yang tidak diwartakan dengan menaiki sebuah bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran.
Kesalahan itu dilakukan pada kedudukan 12.4 batu nautika dari Pulau Jarak dekat sini pada pukul 12.21 tengah hari 16 Oktober lalu. -K! ONLINE