fbpx

Bunuh Zulfarhan: Esok penentu akhir nasib 18 penuntut UPNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan arwah Zulfarhan bersama kedua ibu bapanya.

KUALA LUMPUR – Nasib 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet universiti itu Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui esok.

Keputusan sama ada semua tertuduh-tertuduh disabitkan dengan hukuman atau tidak, akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah yang sebelum ini telah selesai mendengar keterangan semua saksi pendakwaan dan pembelaan.

Pada 31 Julai 2019, mahkamah sama memerintahkan 18 penuntut itu membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi pada 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri.

Selain itu ialah Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemuanya didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pada September lalu, hakim itu telah selesai mendengar secara hujahan lisan serta hujahan bertulis yang telah dikemukakan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 29 Januari 2018 pihak pendakwaan telah memanggil 31 saksi antaranya saksi pendakwaan keenam iaitu Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr. Salmah Arshad.

Bagi perbicaraan bela diri yang bermula pada 2 Oktober 2019 pihak pembelaan telah memanggil seramai 20 saksi termasuk pakar perunding forensik Hospital Sungai Buloh Dr. Rohayu Shahar Adnan yang merupakan yang saksi pembelaan ke-19. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI