IPOH – Apa yang dibimbangkan oleh pencinta sejarah warisan Ipoh berlaku apabila bangunan bekas Sekolah Melayu Kampung Kuchai di Jalan Dato Onn Jaafar di sini terbakar tengah hari tadi.
Mujurlah dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 itu hanya sebahagian kecil ruang dalam bangunan kayu yang ditinggalkan terbiar itu terbakar.
Bangunan sekolah berusia lebih 120 tahun itu juga merupakan warisan besar dalam sejarah pendidikan orang-orang Melayu di Ipoh.
Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli berkata, walaupun tiada kerosakan besar tetapi kejadian kebakaran seperti itu sangat dibimbangi.
Justeru katanya, pihak berkuasa perlu berbuat sesuatu untuk memulihara tinggalan sejarah tersebut agar tidak musnah.
“Ini adalah kejadian kedua selepas kebakaran pada Julai lalu yang memusnahkan bangunan bekas rumah guru bersebelahan yang dibina pada 1950an manakala sisi bangunan sekolah ini juga terbakar.
“Bangunan kayu berdindingkan bertam ini adalah antara sekolah Melayu tertua di Perak yang masih ada di Ipoh, malangnya terbiar tidak berjaga,” ujarnya kepada Kosmo!
Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu,
pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.25 tengah hari.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik bomba tiba, pemeriksaan mendapati kebakaran disebabkan longgokan sampah di dalam rumah kosong tersebut.
“Api bagaimana pun telah dipadamkan oleh pasukan bomba sukarela Pekan Baru sebelum jentera BBP Ipoh tiba,” ujar jurucakap tersebut.
Pihak bomba kemudian membuat pemantauan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian merbahaya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.16 petang. -K! ONLINE