fbpx

Anak seni lega kian dibenar buat persembahan pentas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI anak seni, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini gembira melihat industri hiburan kembali bernafas.

KALAU memang sudah darah seni mengalir dalam badan, pandemik Covid-19 yang membelenggu sejak dua tahun lalu sememangnya memberi kesan terhadap motivasi mana-mana individu yang memegang status selebriti.

Dengan kelonggaran yang semakin dibenarkan untuk ‘bersatu’ dengan peminat atas pentas persembahan, ramai dalam kelangan mereka mula melahirkan rasa lega dan tidak sabar untuk beralih kepada fasa lazim seperti waktu prapandemik.

Pelancaran kempen Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak pada 23 Oktober lalu disambut baik oleh barisan anak seni.

Bagi penyanyi yang terbabit pada acara berkenaan yang terdiri daripada Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Poova dan Vince menyifatkan usaha yang dilakukan sesuatu yang cukup istimewa dan penghargaan besar buat mereka.

Teruja

Dayang Nurfaizah berkata, dia cukup teruja dapat membuat persembahan di hadapan Perdana Menteri apatah lagi selepas sekian lama tidak menyanyi pada acara besar.

“Sejujurnya saya teruja dapat terbabit dengan acara ini sebab setelah sekian lama tiada penganjuran program besar. Sekurang-kurangnya dapat buat kemunculan semula.

“Malah, apa yang lebih membanggakan adalah dapat mengadakan persembahan di depan Perdana Menteri, menteri dan Ketua Menteri. Selain itu, dapat juga saya menyanyikan lagu-lagu patriotik dengan nafas baharu,” katanya.

Petanda baik

Senada dengan Dayang, penyanyi Hael Husaini juga melihat pelancaran tempoh hari memberi petanda baik dan perkembangan positif untuk industri hiburan tempatan.

“Program sebegini dapat merancakkan semula industri hiburan dan penganjuran acara sekali gus memberi peluang kepada artis kembali beraksi di pentas.

“Apa yang menariknya juga, pada acara ini saya bersama rakan artis lain cukup teruja apabila berpeluang menyanyikan lagu rasmi Keluarga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Vince beranggapan majlis tersebut dapat memberi manfaat kepada ramai pihak yang terbabit. Bukan saja kepada penyanyi, pemuzik tetapi juga mereka yang terbabit dalam penganjuran acara.

“Dengan adanya program besar ini, dapat memberi kesan limpahan yang akan memanfaatkan banyak pihak dalam industri hiburan dan sokongan.

“Paling penting, semangat Keluarga Malaysia juga dapat diperkukuhkan melalui program hiburan yang membabitkan elemen atau semangat muhibah,” katanya.

Majlis pelancaran Keluarga Malaysia pada 23 Oktober lalu pada pukul 8 malam turut disiarkan menerusi beberapa stesen televisyen tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI