SHAH ALAM – Seramai 20 individu dibenarkan hadir dalam majlis akad nikah di semua masjid dan surau di Selangor.
Jumlah kehadiran itu bertambah berbanding sebelum ini hanya terhad pasangan pengantin dan wali saja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, sebanyak enam sesi sehari sahaja dibenarkan iaitu masing-masing tiga pada sebelah pagi dan petang
“Semua pihak yang menghadiri wajib lengkap vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya membenarkan pengurusan jenazah bukan Covid-19 daripada kalangan ahli kariah dilaksanakan di masjid dan surau.
“Ia melibatkan kehadiran ahli waris, kaum kerabat terdekat dan ahli kariah pada bilangan tidak melebihi 100 orang.
“Jumlah itu tidak termasuk pegawai atau jawatankuasa masjid atau surau berkenaan,” katanya. -K!ONLINE