LIPIS – Polis menahan seramai 132 individu kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dalam operasi Ops Sarang di lima daerah di negeri ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan dalam serbuan di ‘port’ dadah dan rumah yang dikenalpasti di Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut.
“Operasi ini bertujuan menggempur sarang pengedar dadah yang semakin berleluasa khususnya di kawasan Felda yang mempunyai ramai penagih yang dikenal pasti menerusi risikan dan maklumat orang ramai.
“Dalam serbuan itu polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 151.51 gram, syabu (113.62 gram), pil kuda (23.85 gram), pil eramin 4 (4.5 gram), cecair kodein (0.04 liter) dan air ketum (4.5 liter) yang dianggarkan bernilai RM17,493,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Lipis di sini semalam. -K! ONLINE